Bicarawara Hiburan “HOTSPOT” di RTM
Radio Televisyen
Malaysia (RTM) tampil dengan program terbaharu “HOTSPOT”, bicarawara santai yang mengetengahkan isu semasa dunia
hiburan tempatan dan antarabangsa di samping perkembangan terkini personaliti
dan artis jemputan pada setiap minggu.
Bermula pada 7
Oktober lalu, program terbitan Unit Hiburan TV RTM bersiaran secara langsung dari
Studio N1, Wisma Berita, Angkasapuri, Kuala Lumpur ini menemui penonton setiap Ahad, pukul 9.00 malam di TV Okey
(Astro 109). Siaran ulangannya pula dapat diikuti mulai 20 Oktober ini,
setiap Sabtu, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2.
Menampilkan Fikry
Ibrahim sebagai hos, 13 episod program
ini akan mengupas pelbagai topik berkenaan dunia seni dan hiburan yang pastinya
menarik untuk dikongsikan dengan semua penonton RTM.
Terdahulu menerusi episod
pengenalannya, program disiarkan setengah jam ini berkongsi dengan penonton tajuk
“Lirik Rojak” yang mengundang tiga panel jemputan yang tidak asing lagi dengan
bidang penulisan lirik iaitu Ad Samad, Waris dan Ippo Hafiz.
Ia kemudiannya
diselitkan dengan selingan temu bual berkongsi pendapat tentang perbezaan lirik
dulu dengan sekarang bersama artis Jatt (Black Dog Bone), Adeep Nahar, Daly
Filsuf, dan Misha Omar. Menariknya program santai ini turut berkongsi segmen bersama
peminat selebriti undangan di studio. Malah dilengkapi dengan iringan muzik
daripada Kumpulan Reuz Band, finalis Rentak Juara 2017.
Comments